BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

INGAT SELALU

Wednesday, March 10, 2010

ungkapan sabar itu.....

Sabar. Kalimah yang begitu mudah diucapkan. Namun berapa ramai antara kita yang bersabar dalam apa jua suasana dan ketika. Adakah sabar itu mempunyai batasnya ?. Sabar yang bagaimana sehingga ia diiktiraf sebagai sebahagian dari iman ? Adakah kita tergolong dalam golongan orang yang bersabar lalu kita terpilih menjadi kesayangan Allah SWT ?.

“Dan berapa ramai para nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikutnya yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah (mental) kerana bencana yang menimpa di jalan Allah, tidak lesu (dalam penampilan), dan tidak menyerah (dalam aktiviti). Allah menyukai orang-orang yang sabar.” (QS Ali Imran: 146)

Salah satu sifat apabila berada pada diri seseorang nescaya Allah akan mencintainya adalah sifat sabar. Al Qur'an banyak menyebut sifat ini baik dalam surah–surah Makiyah (turun di Mekah) mahupun Madaniyah (turun di Madinah). Bahkan, sabar merupakan sifat para nabi pilihan (ulul ‘azmi).

“Maka bersabarlah kalian seperti ulul ‘azmi (orang-orang yang memiliki keteguhan hati dari para rasul) telah bersabar.” (QS al-Ahqaaf : 35)

Menurut Imam Ghazali, sabar adalah sifat khas manusia yang tidak dimiliki makhluk-makhluk lain. Oleh itu, sabar amat penting dan utama dalam mengharungi kehidupan. Seorang petani, tidak mungkin menuai hasil tanaman padi apabila dia tidak sabar menunggu dan menjaga serta merawat tanamannya. Seorang pelajar atau mahasiswa pula tidak mungkin lulus apabila tak sabar menempuhi pelajaran dari hari ke hari.

Bahkan kemaksiatan yang tumbuh dalam masyarakat juga disebabkan oleh manusia yang tidak sabar dalam menghadapi kehidupan dunia yang penuh dinamik. Abu Thalib al Makky berkata, “Banyaknya kemaksiatan yang dilakukan oleh seseorang kerana dua perkara. Pertama kerana sedikitnya kesabaran terhadap sesuatu yang disenangi atau disukai. Kedua kerana sedikitnya kesabaran terhadap sesuatu yang tidak disukai.”

Namun demikian, masih ramai umat Islam yang keliru dalam memahami ertikata sabar. Ada yang menyangka, sabar bererti ‘mengusap dada’ setiap kali menghadapi masalah hidup. Ada pula yang mengungkap sabar itu ada batasnya, lalu apabila sampai dibatasnya kesabaran akan hilang !. Adakah ini sudah memadai untuk dinamakan sabar?.

Dari ayat 146 surah Ali Imran, menunjukkan sekurang-kurangnya terdapat tiga kriteria orang sabar. Pertama, maa wahanu (tidak pengecut atau tidak lemah mental). Apabila berhadapan dengan kesulitan hidup, dia memiliki self control mechanism. Dia segera menstabilkan emosi dan mentalnya, sebelum orang lain mengingatkannya. Nasihat orang lain agar dia bersabar hanya berperanan sebagai supplementary factor bagi stabiliti dirinya.

Pada suatu ketika, Rasulullah SAW melintasi sebuah kawasan perkuburan. Baginda melihat seorang ibu menangis tersedu-sedu sambil menutup mukanya di atas pusara anaknya yang baru saja dimakamkan. Nabi menghampiri seraya bersabda, “Wahai ibu, bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah.”

“Engkau tak tahu apa yang aku rasakan.” Katanya.

Nabi pun meninggalkannya. Seorang sahabat yang menyaksikan peristiwa tersebut, berkata kepada wanita tadi, “Adakah engkau tahu, siapa yang berbicara denganmu tadi? Itu adalah Rasulullah SAW !.

Wanita itu terkejut. Bergegas dia mengejar Nabi Muhammad SAW ingin meminta maaf atas kelancangan perilakunya. Ketika bertemu, Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya sabar yang sejati hanyalah pada saat seseorang terkena musibah untuk kali yang pertama!”

Ciri orang sabar yang kedua adalah maa dha’ufuu (tidak lesu – dari segi penampilan). Seseorang yang sabar tidak pernah merasa perlu menampilkan kesedihan atau kesulitan masalahnya kepada orang lain. Dia pantang menampilkan kelesuan di raut wajahnya, betapa sulit pun masalah yang dihadapi. Dia sedar betul bahawa tiada manusia di dunia yang luput dari masalah. Secanggih mana pun seorang pakar psikiatri atau psikologi dalam menangani masalah orang lain, nescaya dia juga tidak terlepas dari bebanan masalah. Walaupun mungkin orang sabar harus menampilkan kelemahan diri, maka dia sampaikan kepada Allah SWT di kesunyian malam melalui salat tahajud.

Ketiga, mastakaanuu (tidak menyerah atau tunduk - dari segi aktiviti). Seorang yang sabar sentiasa memelihara ketekunan dan ketahanan dirinya. Dia sentiasa gigih dalam usaha mencapai sasarannya. Dia seorang yang tak kenal perkataan putus asa. Tidak ada dalam kamus hidupnya putus harapan. Dia tak mudah patah semangat apabila berhadapan dengan kegagalan. Dia bukanlah seorang pesimis, malah selalu memelihara dan mengembangkan sikap optimis dalam hidupnya. Jika dia menemui kegagalan hari ini, dia akan cuba sekali lagi keesokan harinya. Jika esoknya dia masih gagal, dia cuba kembali pada hari lusanya. Bila setelah sekian kali menemui kegagalan, maka dia akan membuat keputusan untuk mengubah usahanya ke bidang yang lain. Yang pasti dia tak akan pernah memilih untuk duduk diam, tanpa usaha.

Seringkali manusia lupa bahawa hidup di dunia berbeza dengan di akhirat. Di akhirat segala sesuatu menjadi serba kekal. Seseorang hanya akan merasakan bahagia yang terus menerus di dalam syurga, atau sebaliknya mendapat siksa yang kekal di neraka jahannam. Sebaliknya kehidupan di dunia bersifat fana, nisbi dan penuh dinamik. Suka duka, berjaya gagal, rahmat dan bencana datang silih berganti. Pada suatu ketika seseorang itu berada di atas manakala pada ketika yang lain dia berada di bawah. Dalam suasana yang dinamik inilah amat diperlukan sifat sabar.

0 comments:

BLOG MOOD


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails