BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

INGAT SELALU

Wednesday, February 17, 2010

Buat Dosa Kerana Dosa

Posted by zulyunus on December 12 2009 12:36:38

Dosa yang kita lakukan saban hari boleh menjadi penghijab kepada Rahmat dan kasih sayang Allah, baik kecil mahupun besar. Dosa kecil jika diremehkan boleh menjadi besar dan dosa besar boleh terhapus dengan taubat nasuha. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang kepada hamba-Nya. Tanpa kita sedari, banyaknya dosa yang kita lakukan sehari-hari telah menjadi penyebab kepada sempitnya jiwa dan tumpulnya akal. Kita berusaha sedaya upaya mencari seribu satu cara menajamkan akal dan menenangkan jiwa, namun kita mungkin buntu jika kita terus menerus berada dalam kemaksiatan kepada Allah. Akhirnya, kita bakal menyedari bahawa sebanyak mana kebaikan yang kita buat, kita masih tidak akan tenang selagi dosa dan maksiat tidak kita tinggalkan.

Rasulullah telah mengisyaratkan tentang perkara ini dalam sebuah hadith:

Dari Nawas Bin Saman R.A. Nabi S.A.W. bersabda: "Kebajikan itu adalah budi pekerti yang baik, dan dosa itu adalah segala sesuatu yang menggelisahkan perasaanmu dan yang engkau tidak suka bila dilihat orang lain" (HR Muslim)

Jangan Campurkan Hak dan Batil

Makanlah sebanyak mana madu sebagai penawar, kita tak mungkin sembuh selagi racun ditelan jua. Itulah ibarat kebaikan dan dosa yang dilakukan serentak. Dalam surah Al-Baqarah Ayat 42 Allah berfirman:

"Dan janganlah kamu campuradukkan kebenaran dengan kebatilan dan (janganlah) kamu sembunyikan kebenaran, sedangkan kamu mengetahui."

Satu ayat yang ringkas tetapi mengena buat jiwa-jiwa yang tulus dan sensitif. Hitam dan putih tak mungkin sama. Apabila ia bercampur, tak mungkin putih akan kekal suci, bahkan hitam jua mendominasi. Begitu juga jiwa, apabila kejahatan dan kebaikan dilakukan serentak, nafsu manusia itu lebih cenderung untuk memenangkan kejahatan. Oleh itu kita perlu menyucikan jiwa daripada percampuran dua elemen berbeza ini. Jangan sampai kita dilihat orang seperti buah macang yang luarnya nampak menarik dan elok namun dalamnya penuh ulat dan tak bisa ditelan. Inti daripada ayat di atas adalah kita harus menyucikan segala perkara yang hak daripada kebatilan dengan tidak mencampuradukkannya sedikit pun. Kita harus mengisi jiwa dengan perkara kebajikan dengan tidak mencampuradukkan dengan kebatilan dan kemaksiatan.

Buat dosa kerana dosa

Ada orang yang terus menerus melakukan dosa dan kemaksiatan dengan alasan kerana sebelumnya dia pernah melakukan dosa tersebut. Ibarat seorang pembunuh. Pertama kali ia melakukan pembunuhan, ia akan rasa bersalah. Namun, disebabkan pembunuhan pertama yang dilakukannya, ia terus lagi membunuh dan membunuh. Akhirnya ia buntu lantas berkata dengan keluhan "aku tak mungkin keluar daripada jalan ini...". Tidak! Bahkan Allah itu Maha Besar Rahmat-Nya dan Maha Luas Ampunan-Nya. Lupakah kita akan sebuah hadith yang menceritakan kisah seorang pembunuh yang telah membunuh 99 orang dan dilengkapkan dengan 100 orang? Dalam perjalanannya untuk mencari ampunan Allah, dia mati lantas dia masih diampunkan oleh-Nya. Allahuakbar! Bagaimana kita begitu angkuh dengan Allah? Tatkala Allah menyediakan ruang untuk bertaubat, apakah pantas kita berputus asa dengan Rahmat Allah dan menolak tawaran ampunan Allah? Mungkin kita nampak seperti orang lemah yang tidak semangat lagi untuk hidup tetapi sebenarnya kita angkuh dengan Rahmat Allah!

Terlalu besarkah kita untuk memutuskan bahawa kita itu selayaknya di neraka sedangkan Allah menjanjikan syurga bagi orang yang bertaubat? Adakah kita itu 'Tuhan' sehingga boleh menentukan bahawa sesuatu perbuatan itu tak mungkin diampunkan sedangkan Allah menanti panggilan kita? Jika itu yang kita rasakan, lihatlah apa yang Allah katakan: "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepada-Ku, agar mereka memperoleh kebenaran." (Al-Baqarah, 2: 186)

Dan baca pula Hadith ini: "Dari Anas Bin Malik R.A. berkata: Aku mendegar Rasulullah S.A.W. bersabda, "Allah S.W.T. berfirman, 'Wahai anak Adam, sepanjang engkau memohon kepada-Ku dan berharap kepada-Ku akan Aku ampuni apa yang telah kamu lakukan, Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika dosa-dosamu setinggi awan di langit kemudian engkau meminta ampunan kepada-Ku akan Aku ampuni. Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang kepada-Ku membawa kesalahan sebesar dunia kemudian engkau datang kepada-Ku tanpa menyekutukan Aku dengan sesuatu pun, pasti Aku akan datang kepadamu dengan ampunan sebesar itu pula.'" (HR Tirmidzi ia berkata, "Hadith ini hasan sahih.")

Ayat Al-Quran dan Hadith di atas cukup bermakna jika kita cuba mengerti dan memahami. Subhanallah...

Taubat membuka lembaran baru

Ayuhlah kita bertaubat. Baik besar mahupun kecil dosa yang kita lakukan, impaknya dalam kehidupan sangat besar dan merbahaya. Jangan pula kita kerap kali mengulangi dosa dan berangan-angan bahawa Allah itu Maha Pengampun seolah-olah mempermainkan perkara ini. Ingatlah bahawa Allah mengetahui apa sahaja yang tersembunyi di dalam hati manusia. Kadang-kadang banyak dosa-dosa kecil yang kita lakukan tanpa kita sedari. Jadi, perbaharuilah taubat sentiasa agar kita bertemu dengan-Nya nanti dalam keadaan dosa kita terampun. Bahkan secara spiritualnya, taubat dapat mengembalikan ruh yang bertenaga dan bersemangat terutama bagi para Da'i ilallah.

Moga kemenangan Islam itu tidak terhijab dek banyaknya dosa dan maksiat yang dilakukan bahkan oleh para Da'i yang mengaku beriman. Wahai saudaraku, bukan Allah tidak mahu mengampuni kita, namun kita yang terlalu bongkak untuk meminta dan mengabdikan diri kepada-Nya. Ayuhlah kita sedar dan kembali kepada-Nya dengan hati yang terbuka. Mudah-mudahan kita akan lebih tenang menghadapi hidup ini.

Wallahua'lam...

http://zulyunus.com

0 comments:

BLOG MOOD


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails